mutakhir

Jangka banjir lebih kecil

Kota Bharu: Jabatan Meteorologi Kelantan menjangkakan keadaan banjir tahun ini lebih kecil berbanding tahun lalu memandangkan taburan hujan yang sedikit.

Pengarahnya, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, taburan hujan dijangka sekitar 800 milimeter (mm) sahaja, berbanding tahun lalu sebanyak 1,200 mm.

Katanya, keadaan ini juga didorong kehadiran fenomena El Nino berintensiti kuat ketika ini yang mengurangkan risiko hujan lebat dalam negara khususnya, kawasan pantai timur.

“Ia menjadi faktor kepada keadaan banjir lebih kecil berbanding tahun lalu. Episod hujan lebat pertama dijangka berlaku pada awal minggu November sehingga Mac tahun depan.

“Empat episod hujan lebat sekitar tiga sehingga lima hari yang boleh mengakibatkan banjir di negeri di Pantai Timur Semenanjung berlaku dari November hingga Januari tahun depan,” katanya pada sidang media di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Maqrun Fadzli menafikan viral berhubung tarikh ramalan banjir besar di negeri ini sehingga membimbangkan masyarakat.

Katanya, penyebaran viral itu dilakukan individu tidak bertanggungjawab dan berharap masyarakat tidak mengambil serius perkara itu.

Disiarkan pada: October 29, 2015 @ 7:27am
d