mutakhir

Komited laksana misi UNESCO

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Pembabitan aktif negara dalam menyokong prinsip yang dibawa Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 1958 masih diteruskan melalui kerjasama antarabangsa melalui bidang pendidikan, sains dan kebudayaan.

Bagi menjamin kekuatan kerjasama itu, Malaysia meneruskan hasrat untuk bertanding menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO untuk penggal 2015-2017 pada Selasa ini di Paris, Perancis.

Delegasi negara yang diketuai Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid itu juga akan memperkukuhkan lagi keanggotaannya dalam pelbagai suborgan UNESCO seperti World Heritage Committee (WHC), Intergovernmental Oceanographic Commission of UNESCO (IOC), International Coordinating Council of the Man and Biosphere (MAB), Management of Social Transformations (MOST) dan International Bureau of Education (IBE).

Menerusi persidangan yang membabitkan struktur organisasi UNESCO, terdapat tiga badan penting yang bertanggungjawab untuk menentukan hala tuju UNESCO iaitu Lembaga Eksekutif UNESCO, Sekretariat UNESCO dan Persidangan Agung UNESCO.

Selain meletakkan keyakinan terhadap rencana UNESCO untuk mewujudkan sistem pendidikan mampan, misi UNESCO juga sentiasa menjadi inspirasi untuk negara komited dalam memastikan pembangunan lestari, menggalakkan dialog antara budaya dan memastikan keamanan berterusan.

Kepelbagaian dilihat sebagai kekuatan dan dengan penyatuan dalam perbezaan peringkat global, negara ini berupaya menjadi tulang belakang bagi memastikan kestabilan demi kemanusiaan sejagat yang lebih baik.

Tersenarai sebagai negara penyumbang melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO (MLJCP), tahun ini adalah landasan terbaik untuk negara terbabit secara langsung dengan agenda UNESCO apabila menduduki kerusi lembaga eksekutif.

Sejak menganggotai UNESCO pada Jun 1958, Malaysia menduduki kerusi lembaga itu lima kali iaitu tahun 1978 hingga 1983, 1987-1991, 1993-1997, 1999-2003 dan 2007 hingga 2011.

Seramai 195 negara anggota UNESCO dijangka menghadiri Persidangan Agung UNESCO kali ke-38 sementara Malaysia turut dihadiri Jawatankuasa Kecil Tetap Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM).

SKUM diwakili enam kementerian iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementerian Luar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malaysia juga mempunyai dua pusat kategori-2 UNESCO iaitu International Science, Technology and Innovation Centre for South-South Cooperation (ISTIC) dan Humid Tropics Centre Kuala Lumpur (HTCKL).

Pada tahun lalu, Malaysia dipilih sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB bagi tempoh 2015 hingga 2016.

Dalam pada itu, negara berbangga dengan pengiktirafan kawasan perlindungan terbesar di Sabah dengan keluasan 350,584 hektar iaitu Banjaran Crocker, diiktiraf sebagai Tapak Rizab Biosfera Dunia.

Pengiktirafan itu adalah kejayaan kedua negara selepas Tasik Chini, Pahang memperoleh pengiktirafan sama sebelum ini.

Malaysia juga mendapat pengiktirafan daripada UNESCO dalam bidang kebudayaan di mana beberapa kawasan di Malaysia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Tapak berikut adalah Gunung Kinabalu di Sabah, Taman Negara Mulu di Sarawak, Bandaraya Melaka dan Georgetown serta Lembah Lenggong di Perak.

Selain itu, tarian Mak Yong juga diiktiraf sebagai Warisan Tidak Ketara UNESCO melalui Proclamation of the Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity.

Pada 25 Mei lalu, negara menerima kunjungan Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova yang menyifatkan transformasi pendidikan yang direncanakan UNESCO bersama dengan negara akan memastikan tiada individu yang ketinggalan dalam tempoh yang ditetapkan.

Irina yang bersama merasmikan edisi kelima sambutan Hari UNESCO Malaysia 2015 pada ketika itu juga menyokong program yang dianjurkan sebagai platform untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai latar belakang ciri-ciri unik.

Pada masa sama, ia membabitkan generasi muda untuk memelihara dan membangunkan warisan yang masih ada di Malaysia.

Kehadiran pengunjung mencecah 10,000 pagi program berkenaan membuktikan pendidikan negara khasnya berada pada landasannya apabila rata-rata rakyat memahami usaha yang dijalankan.

Disiarkan pada: October 30, 2015 @ 8:57am
d