mutakhir

Jatuh lepas tampar

Oleh Fardy Bungga

Ampang: “Saya tidak tahu apa masalah sebenarnya kerana dia tinggal seorang diri dan jarang balik ke rumah keluarga,” kata Balbir Singh, bapa kepada Jaspal Kaur, 28, yang maut selepas terjatuh di lereng bukit setinggi 50 meter di Taman Bukit Permai, dekat sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, mangsa difahamkan bergaduh dengan teman lelakinya sebelum terjatuh di lereng bukit dipercayai selepas ditampar suspek berusia 35 tahun itu.

Balbir, 65, berkata, anak ketiga dari empat beradik itu jarang menghubungi mereka sejak berpindah dari rumah keluarganya di Shah Alam sebaik tamat sekolah menengah.

“Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya masalah yang dia hadapi, tetapi saya berharap individu yang bertanggungjawab akan dikenakan hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Superintendan Mohd Nazri Zawawi berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa bergaduh dengan teman lelakinya di tepi bukit berkenaan.

Menurutnya, ketika bertengkar, suspek menampar mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh di lereng bukit.

“Mangsa maut selepas mengalami kecederaan serius di kepala akibat impak terjatuh dari tempat tinggi dan kematian disahkan anggota paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

“Teman lelaki mangsa sudah ditahan hari ini (semalam) bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: October 31, 2015 @ 8:51am
d