mutakhir

Giat kumpul bukti

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada sekretariat UMNO untuk mengumpul maklumat dan bahan bukti terhadap tujuh pemimpin parti itu yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang ‘tidak patut dibuat di khalayak’.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, maklumat berkenaan diperlukan untuk dikemukakan kepada pengurusan tertinggi parti.

“Perkara itu diserahkan kepada Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membuat siasatan terperinci terhadap individu terbabit.

“Maklumat ini penting untuk diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti, Majlis Presiden atau terus kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Kita serahkan kepada kebijaksanaan Setiausaha Agung untuk kumpul maklumat dan bukti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Hotel Grand Riverview di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung siasatan ke atas tujuh pemimpin UMNO yang akan dirujuk kepada lembaga disiplin susulan kenyataan dan tindakan yang didakwa merugikan UMNO.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, kunjungan kesembilan dalam lawatan kerja itu adalah untuk bertemu dengan pemimpin UMNO bagi mengeratkan hubungan dan memberi penerangan berkaitan isu semasa.

“Komunikasi secara bersemuka ini paling efektif dan mahu lihat bagaimana isu ini dimainkan oleh semua peringkat akar umbi,” katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung kenyataan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahmad Zahid berkata, perkara itu diserahkan kepada kepemimpinan untuk di analisis.

“Saya hormati pendapat beliau (Zainuddin) dan serahkan kepada kepemimpinan untuk buat analisis sama ada dalam bentuk tindakan (memecat) atau sebaliknya.

“Banyak lagi pendapat serupa atau berbeza yang dikeluarkan individu lain namun kita perlu meneliti semua pendapat itu. Yang penting perpaduan dalam parti menjadi keutamaan supaya UMNO terus berada di barisan depan untuk menerajui kepemimpinan negara,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2015 @ 7:50am
d