mutakhir

Kecoh beg ada bom

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Suasana di sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang di sini, gempar berikutan tindakan empat remaja lelaki meninggalkan beg di pintu utama kompleks berkenaan yang disangka mengandungi bom, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak keselamatan pusat beli-belah itu pada jam 10.30 pagi yang menyatakan menemui empat buah beg di pintu utamanya.

Katanya, sepasukan anggota polis Dang Wangi dengan Bantuan Unit Pemusnah Bom dikejarkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

“Pada jam 1.30 tengah hari, Unit Pemusnah Bom menggunakan bantuan robot berjaya membuat tiga tembakan untuk memecahkan beg itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati beg itu mengandungi kemeja dan seluar remaja lelaki, satu mesin kira dan satu kotak jam.

“Siasatan lanjut juga tidak membawa kepada penemuan sebarang objek menyerupai bom,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, ketika itu, empat remaja lelaki tampil dan mengaku beg berkenaan adalah milik mereka yang ditinggalkan untuk pergi berjalan-jalan sekitar kawasan pusat beli-belah itu selain menonton wayang.

“Semua remaja berusia 14 tahun itu adalah pelajar dari salah sebuah sekolah di Negeri Sembilan yang kemudiannya dibawa ke balai untuk diambil keterangan.

“Siasatan polis mendapati tiada sebarang panggilan bom dibuat dan remaja berkenaan mengaku meninggalkan beg berkenaan kerana menyusahkan pergerakan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2015 @ 8:07am
d