mutakhir

Tauke lepas, pekerja sangkut

Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Seorang warga Bangladesh dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, semalam selepas mengaku bersalah memiliki rokok seludup bernilai RM170.20 pada pertengahan bulan lalu.

Md Imran Hossen, 25, dari Kalaroa, Bangladesh membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mohd Azhar Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Md Imran yang bekerja sebagai pembantu kedai didakwa melakukan kesalahan di sebuah kedai runcit beralamat di Taufik Store, Jalan Alor Mengkudu, jam 1.45 tengah hari pada 21 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa menyimpan 580 batang rokok putih jenama John 16G, John Black (480), John Limited (440), Surya 20 batang (320) dan rokok keretek jenama Surya 12 batang (120).

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (iii) akta sama.

Terdahulu, tertuduh mengaku datang ke negara ini sejak sembilan bulan lalu menggunakan visa pelajar, namun sudah tamat tempoh pada Mac lalu.

Selain itu, tertuduh memohon mahkamah mengurangkan denda berikutan mempunyai tanggungan di negara asal iaitu ibu bapanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah Mohd Ridhauddin Jamaludin memohon mahkamah menetapkan hukuman setimpal.

“Saya juga memohon mahkamah supaya memperuntukkan perintah lucut hak mengikut Seksyen 127 (1) Akta Kastam 1967 iaitu barangan menjadi hal perkara dilucut hak dan dilupuskan,” katanya.

Katanya, pada tarikh tertuduh ditangkap, anggota yang menjalankan serbuan menemui semua rokok disembunyikan dalam laci mesin fotostat dan ketika itu dia berseorangan menjaga premis.

Mohd Azhar kemudian memerintahkan tertuduh didenda sebanyak RM5,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Disiarkan pada: November 2, 2015 @ 8:48am
d