mutakhir

Kenal pasti 11 lokasi 'panas' tumpuan penagih

Kuala Lumpur: Terdapat 11 lokasi ‘panas’ di ibu kota dikenal pasti menjadi tumpuan pengedar dan penagih dadah dengan kebanyakannya tertumpu di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Suhaimi Abdullah berkata, pihaknya sering melakukan operasi membanteras dan menahan pengedar serta penagih dadah di kawasan PPR di Lembah Klang.

“Antara PPR yang diberi perhatian serius adalah PPR Pudu Ulu, PPR Tun Abdul Razak dan Flat Sri Sabah. Pihak AADK mengambil pendekatan menempatkan anggota termasuk pegawai AADK di flat itu.

“Mereka bersama penduduk di kawasan itu selama 24 jam dalam tempoh tertentu bagi mengurangkan kegiatan jenayah ini,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu membantu mengawal jumlah penagih dadah baru yang masih membimbangkan.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, pihak polis Kuala Lumpur sering melakukan operasi dan tangkapan di kawasan PPR bagi membanteras jenayah itu.

Menurutnya, ramai penagih dan pengedar diberkas sebelum ini, namun bilangan penagih baru yang muncul menjadi cabaran kepada pihak polis.

Disiarkan pada: November 2, 2015 @ 9:58am
d