mutakhir

Penawar dugaan bukan kepalang

Oleh Icka S Hassan

Shah Alam: “Kehilangan anak sulung, Nur Ameera Safiya Zahari pada Oktober tahun lalu umpama mimpi ngeri buat kami sekeluarga hingga timbul hasrat tidak mahu menyambung pengajian,” kata Ainon Mahat, 43, yang menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-83, di sini, semalam.

Ainon berkata, dia sekeluarga terkejut dan sedih apabila doktor mengesahkan anaknya yang berusia 13 tahun menghidap penyakit limfoma dan leukimia pada Mac tahun lalu.

Pada masa sama, katanya, dia perlu berjuang dalam pengajian separuh masa di UiTM dalam pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Menurut Ainon, dorongan kuat suami, Zahari Muda, 45, menjadi penawar dan pembakar semangat kepadanya untuk memenuhi keperluan pengajian selama setahun tiga bulan itu.

“Keadaan ini memberi cabaran besar buat saya kerana saya ditaja organisasi tempat saya berkhidmat dan pada masa sama anak pula sakit.

“Namun atas nasihat suami, saya gagahkan diri untuk membahagikan masa belajar walaupun perlu beri fokus lebih kepada anak yang memerlukan perhatian kami,” katanya yang menyandang jawatan Pengurus Kanan di Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ainon yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif 3.82 berkata, dia bersyukur apabila dikelilingi rakan serta kakitangan universiti yang banyak membantu hingga tidak pernah ketinggalan dalam mana-mana subjek.

Menurutnya, setiap malam dia membuat tugasan pengajian di hospital sehinggalah mereka sekeluarga sekali lagi dikejutkan dengan berita pemergian anak sulungnya itu.

“Suami banyak mengalah dalam pelbagai hal terutama menguruskan dua anak yang masih bersekolah berusia lapan dan sembilan tahun.

“Dia juga yang memberi saya semangat untuk tidak mudah mengalah dalam dugaan ini kerana pastinya ada ganjaran akan diterima jika terus bersabar,” katanya yang juga antara 18 graduan tajaan MAHB.

Tiga lagi rakan sekerjanya, Mohd Syukri Ku Shaari, 46, Nornajihah Ismail, 45, dan Syed Zulkifli Syed Ismail, 30, turut menerima Anugerah Naib Canselor yang disampaikan Pro Canselor UiTM Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Seramai 14,046 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah profesional serta ijazah sarjana manakala 47 graduan menerima Ijazah doktor falsafah.

Disiarkan pada: November 2, 2015 @ 10:03am
d