mutakhir

8 dituduh culik, bunuh

Johor Bahru: Seorang wanita berusia 33 tahun antara lapan individu berdepan hukuman gantung sampai mati ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan menculik dan membunuh seorang lelaki pada 28 September lalu.

Wanita itu, Yew Hooi Lyn dihadapkan ke Mahkamah Majistret bersama-sama tujuh individu lain iaitu S Rajandran, 38, Yang Gui Zhong, 23, Loo Wei Beng, 27, Lau Koon Ping, 42, Andy Teoh Wet Lun, 22, Leong Chiew Yang, 34, dan Lim Choon Ann, 22.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menahan Cheung Zi Hong, 22, untuk mendapatkan wang tebusan RM50,000 di sebuah rumah di Skudai, di sini, jam 1 petang pada 28 September lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, mereka didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian mangsa yang juga seorang peniaga di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini, kira-kira 10.15 malam pada hari sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham dan Mohd Taufik Sabri.

Kelapan-lapan tertuduh tidak diberikan ikat jamin sebelum mahkamah menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Akhbar pada 10 Oktober lalu melaporkan misteri kehilangan lelaki dipercayai mangsa culik terungkai berikutan penemuan mayatnya di dalam hutan di Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, Skudai.

Identiti Cheung dikenal pasti berdasarkan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dilakukan ke atas mayatnya.

Disiarkan pada: November 3, 2015 @ 9:57am
d