mutakhir

Loji elektrik Bio-CNG

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Semua kilang sawit milik FELDA Palm Industries Sdn Bhd (FPISB), di seluruh negara bakal mempunyai loji pengeluaran komersial Bio-Compressed Natural Gas (Bio-CNG) yang berupaya menghasilkan tenaga elektrik secara berperingkat.

Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, biogas itu digunakan sebagai sumber menghasilkan tenaga elektrik yang kemudian disalurkan ke grid nasional.

Bagaimanapun, katanya, pembinaan loji berkenaan akan dilaksanakan selepas melihat hasil projek usaha sama dengan Sime Darby dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di kilang FPISB di FELDA Sungai Tengi, di Kuala Kubu Baru, Selangor.

“Penggunaan biogas dalam menghasilkan tenaga elektrik selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu teknologi hijau diperbanyakkan dan FELDA perlu mengambil pendekatan ini berikutan mempunyai banyak kilang sawit,” katanya pada Majlis Sumbangan Ahli Parlimen Jempol dan Jamuan Makan Perpaduan Deepavali anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jambu Lapan, di sini, kelmarin.

Disiarkan pada: November 3, 2015 @ 10:02am
d