mutakhir

Teksi terbakar mendadak

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: “Asap hitam berkepul keluar dari saluran pendingin hawa sebelum teksi saya terbakar mendadak,” katanya pemandu teksi, Saiful Anuar, 45, yang berdepan detik cemas sejurus kenderaan dipandu dijilat api berhampiran Jalan Genting Klang.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi semalam, mangsa dalam perjalanan menghantar teksi berkenaan ke bengkel kereta berikutan berlaku masalah kebocoran gas pada pendingin hawa kenderaan.

Saiful berkata, dia yang sedang memandu kereta itu terhidu bau hangit sebelum asap mula memenuhi bahagian dalam kenderaan.

“Kebocoran gas itu dipercayai menyebabkan enjin teksi saya rosak. Saya segera memberhentikan teksi sebelum bergegas lari menyelamatkan diri.

“Mujur ketika itu tiada penumpang di dalam teksi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dia berkata, api dengan pantas merebak dan membakar teksinya hingga hangus.

“Walaupun kehilangan teksi yang menjadi punca rezeki, namun saya bersyukur kerana terselamat,” katanya.

Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Mohd Khair Tamjis berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba Wangsa Maju bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Menurutnya, anggota bomba berjaya memadam kebakaran kereta itu yang hangus lebih 50 peratus.

“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2015 @ 10:26am
d