mutakhir

Karnival galak menabung

Kuala Lumpur: Penganjuran BSN School Carnival 2015 inisiatif tanggungjawab sosial Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam menggalakkan pelajar menabung ketika di awal usia.

Pengarah Perniagaan Negeri BSN Kuala Lumpur Noraini Mohd Johan berkata, BSN mempunyai pelbagai skim simpanan yang ditawarkan kepada pelajar sekolah seperti Kelab Penyimpan BSN, Kelab Penabung Muda (KPM) dan Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP).

“KPM dan SGSP asas terbaik untuk pelajar menyimpan wang kerana ia memberi pulangan dalam bentuk dividen dan mempunyai keistimewaan seperti insurans dan hadiah pertandingan yang lumayan,” katanya ketika ditemui pada majlis BSN School Carnival 2015 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jalil, di sini, Sabtu lalu.

Antara aktiviti dijalankan pada karnival itu pertandingan bakat dan mewarna yang terbuka kepada semua pelajar dengan hadiah wang tunai dimasukkan ke dalam akaun Giro BSN pemenang.

Karnival itu membantu SK Bukit Jalil meningkatkan dana sekolah melalui jualan amal dan aktiviti yang dijalankan disamping memberi pendedahan kepada pelajar menabung.

Selain itu, BSN menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabutan Tempatan Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi bulan September di karnival terbabit.

Pemenang hadiah utama, Chen Peng Tien, 64, dari Petaling Jaya, Selangor berkata, dia mula membuat simpanan di SSP sejak 10 tahun lalu kerana tertarik dengan keistimewaan yang ditawarkan, namun tidak pernah menjangkakan akan memenangi sebarang hadiah.

“Saya gembira dan terkejut apabila diumumkan memenangi Perodua Axia dan kereta ini saya manfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan ahli keluarga.

“Saya menyimpan di SSP kerana banyak manfaat dan kelebihan,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2015 @ 10:42am
d