mutakhir

Galak sertai sukan lasak

Kuala Lumpur: Koperasi The New Straits Times Press (M) Berhad dengan kerjasama Kop Media Sdn Bhd akan mengadakan acara Cabaran Go-Kart Koperasi 2015 dalam usaha menggalakkan pembabitan ahli koperasi khususnya ahli muda menyertai sukan lasak.

Acara ini yang terhad kepada 54 peserta akan diadakan pada 14 November ini di Litar Go Kart, Shah Alam bermula jam 9 pagi hingga 1 petang.

Pengurus Unit Periklanannya Mohammad Anis Abdullah berkata, cabaran sukan lasak ini julung kali diadakan dalam kalangan ahli koperasi dan penyertaan daripada ahli koperasi sekitar Lembah Klang amat digalakkan.

“Terdapat tiga kategori penyertaan iaitu kategori lelaki heavyweight membabitkan individu beratnya 70 kilogram (kg), kategori lelaki lightweight membabitkan peserta yang beratnya 70kg ke atas dan kategori wanita.

“Setiap kategori itu mempunyai 18 peserta dan mereka akan bertanding serentak selama 12 minit bagi sesi saringan sebelum pusingan akhir dengan menamatkan 12 pusingan dalam masa terpantas,” katanya ketika ditemui di Balai Berita NSTP, di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah, Pengerusi Koperasi NSTP Mohd Fadzil Abd Ghani, Pengarah Koperasi Perdanajaya Sdn Bhd S Ahlaimuniandy, Setiausaha Coop 2u Sdn Bhd (Coop2u) Datuk K Jayakumar dan Eksekutif Kanan Perhubungan Awam Bank Rakyat Norsham Sujak.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, ANGKASA sebagai penaja utama menyumbang RM20,000 bagi menjayakan acara terbabit.

“Selain ANGKASA, agensi koperasi lain yang turut memberi sumbangan penajaan adalah Bank Rakyat, Koperasi Coop2u, Bank Islam Malaysia Berhad, Kopsya ANGKASA dan Koperasi Perdanajaya Sdn Bhd.

“Penganjuran acara ini adalah satu alternatif untuk merapatkan silaturahim sesama ahli koperasi di samping meningkatkan kemahiran kepemimpinan dan pengurusan acara dalam kalangan ahli,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2015 @ 10:46am
d