mutakhir

Selori rokok tepi jalan

Rantau Panjang: Seorang lelaki memecut lorinya yang sarat muatan rokok seludup bernilai RM240,000, sejauh 70 kilometer sebelum meninggalkan di tepi jalan di Kampung Fikri, Setiu, Terengganu, Jumaat lalu.

Dia berbuat demikian selepas diekori pasukan penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan yang berjaya merampas lori berkenaan 12.30 tengah hari.

Timbalan Pengarah JKDM Kelantan, Bahagian Perkastaman dan GST, Mohd Nasir Yusof berkata, sebelum itu, pasukannya beroperasi di sini menerima maklumat pergerakan kenderaan itu kira-kira jam 8 pagi.

“Lori itu membawa muatan 15,000 karton rokok seludup jenama Leaque bernilai RM240,000 atau nilai berserta cukai dianggar cecah RM1.5 juta.

“Kita turut merampas lori berkenaan dianggar bernilai RM30,000. Bagaimanapun, pemandunya berjaya melarikan diri.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya, semalam.

Mohd Nasir berkata, modus operandi penyeludup adalah membawa masuk bekalan dari negara jiran menerusi jalan laut sebelum ia didaratkan di pantai sekitar Bachok.

Katanya, lori akan menunggu di kawasan pantai dan dihantar terus ke kawasan diperlukan dipercayai di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Disiarkan pada: November 3, 2015 @ 10:49am
d