mutakhir

Jalan sesak5 kilometer

Kuala Lumpur: Hujan lebat bermula jam 3 petang semalam, mengakibatkan laluan di Lebuhraya Besraya (BESRAYA) berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Serdang di sini, dilanda banjir kilat.

Difahamkan laluan utama menghubungkan Sri Kembangan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Cheras Selatan itu dinaiki banjir setinggi 0.5 meter menyebabkan kenderaan ringan gagal melepasi jalan berkenaan.

Tinjauan Harian Metro juga mendapati berlaku kesesakan luar biasa sepanjang hampir lima kilometer apabila pengguna jalan raya gagal melepasi laluan itu.

Kakitangan swasta, Mohd Haikal Zulkifli, 30, berkata, dia terperangkap hampir dua jam berikutan banjir kilat berhampiran stesen KTM itu.

Menurutnya, jalan berhampiran stesen KTM itu sememangnya ‘terkenal’ dengan banjir kilat apabila hujan lebat berlaku.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian banjir kilat di kawasan itu 4.30 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota di Balai Bomba Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memantau dan mengawal keadaan banjir kilat.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua kenderaan dialihkan ke laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan yang lebih teruk.

“Banjir dilaporkan surut jam 8 malam semalam,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2015 @ 5:14am
d