mutakhir

Kuliah kendong anak

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Serdang: Perit jerih berulang- alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur bersama anak selama empat tahun ternyata berbaloi buat ibu tunggal, Siti Sarah Zolkifli yang menggenggam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-39, di sini, semalam.

Wanita kental itu mengakui berbangga dan gembira sebaik namanya diumumkan sebagai salah seorang penerima ijazah di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menurut Siti Sarah, 30, ijazah yang diterima memberi makna cukup besar buat dirinya yang kerap dicemuh masyarakat sekeliling kerana mempunyai tahap pendidikan rendah sebelum ini.

“Saya bercerai dengan suami ketika anak belajar bertatih. Dalam tempoh konflik itulah saya nekad untuk melanjutkan pelajaran.

“Pada saya, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengubah nasib kita kecuali diri kita sendiri.

“Paling utama, saya nak tunjukkan kepada semua bahawa saya juga boleh berjaya walaupun berstatus ibu tunggal dengan seorang anak,” katanya.

Mengimbas pengalaman sepanjang mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ), Siti Sarah berkata, dia terpaksa membawa anaknya, Siti Hawa Najwa Hasbullah, 6, ke kelas bertemu pensyarah, menyertai perbincangan berkumpulan, hinggalah mengambil peperiksaan.

“Saya tidak mahu menyusahkan ibu yang sudah tua. Jadi, suka atau tidak, saya bawa juga anak ke Kuala Lumpur setiap kali pertemuan dengan pensyarah atau sesi ulang kaji.

“Mujur anak cukup memahami, malah semangat saya berkobar-kobar apabila melihat anak menanti di luar pintu dewan ketika mengambil peperiksaan.

“Hati saya tidak henti menyebut, ini untuk anak kerana dialah yang menjadi nadi kekuatan selama ini,” katanya yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah semata-mata untuk menampung keperluan pendidikan serta belanja hidup.

Kata Siti Sarah, dia tidak kisah walaupun terpaksa bersusah payah mendapatkan segulung ijazah.

“Saya pernah pengsan dalam penerbangan ketika berulang-alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur. Anak juga pernah jatuh sakit gara-gara terlalu penat mengikut saya ke kelas.

“Di kampung, saya membuat kuih untuk dijual, bekerja sebagai pembantu rumah dan menjaja di tepi jalan.

“Alhamdulillah, hari ini kehidupan kami berubah dan saya sudahpun diterima bekerja di Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai pembantu tadbir,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2015 @ 5:51am
d