mutakhir

Dua-dua didakwa hari ini

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Dua individu yang bergaduh berhampiran kawasan parkir di Jalan SS 15 di sini, Rabu lalu, bakal berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun jika didapati bersalah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kedua-dua individu itu didakwa hari ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas pihaknya merujuk kertas siasatan berhubung kejadian itu kepada timbalan pendakwa raya (TPR) kelmarin.

“Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun dan juga boleh didenda jika disabit kesalahan.

“Siasatan kes ini selesai dan menunggu mahkamah menjatuhkan hukuman kepada kedua-dua individu terbabit,” katanya, semalam.

Yahaya menambah kedua-dua individu itu didakwa di Mahkamah Petaling Jaya.

Terdahulu, dalam kejadian jam 9 pagi, 28 Oktober lalu, seorang lelaki dan seorang wanita didapati bergaduh sebelum wanita itu menggunakan besi pengunci stereng untuk menyerang kenderaan lelaki terbabit.

Tindakan itu mendapat kritikan ramai apabila video kejadian dengan durasi 17 saat mula menjadi viral di dalam media sosial.

Bagaimanapun wanita yang dikaitkan dengan kejadian itu menafikan sengaja menyerang kereta lelaki terbabit selepas mendakwa bapanya ditolak jatuh hingga cedera.

Disiarkan pada: November 4, 2015 @ 5:59am
d