mutakhir

30 kakitangan Giant ceria sekolah

Kuala Lumpur: Seramai 30 kakitangan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant) mengambil inisiatif menceriakan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mereka menanam pokok buah-buahan dan bunga, mengecat serta membaik pulih kerosakan infrastruktur sekolah menerusi program ‘Giant Loves My School’ (GLMS) demi kepentingan sekolah dan pelajarnya.

Pengetua SMK Desa Cempaka Rihana Hashim berkata, inisiatif syarikat berkenaan adalah satu penghargaan bermakna untuk pihak sekolah dalam usaha ke arah menyediakan tempat pembelajaran abad ke-21 yang kondusif kepada pelajar.

“Saya teruja bila Giant memilih sekolah kami dalam program ini, kebetulan kami mencari penaja untuk membantu mengubah sebuah bilik darjah bagi dijadikan contoh Bilik Darjah Abad ke-21 untuk menjadikan suasana Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih kondusif dan selesa.

“Saya percaya suasana dan infrastruktur yang baik dapat memberikan perbezaan positif kepada pembelajaran pelajar.

“Malah, tiga tahun dari sekarang kami juga berpeluang menikmati hasil buah-buahan yang disumbangkan dan ditanam pihak Giant ketika program ini,” katanya selepas program tanggungjawab sosial korporat itu, baru-baru ini.

Pada program itu, Pengurus Besar Giant Superstore Nilai Goh Chin Fock serta 30 kakitangannya berjaya menyiapkan tugasan bakti mereka selain turut menyampaikan pelbagai barangan makanan.

Bagi tahun ini, syarikat berkenaan menyediakan dana sebanyak RM750,000 kepada 150 sekolah dan lebih 100 sekolah mendapat manfaat daripada program itu.

Disiarkan pada: November 5, 2015 @ 9:48am
d