mutakhir

Minta tolong lepas terjun

Oleh Nazirul Roselan

Temerloh: “Saya tidak sangka dia boleh terjun dari jambatan ini sedangkan dia seorang yang waras dan boleh berfikir yang mana perkara elok dan sebaliknya,” kata Roslan Yunus, 50, bapa saudara kepada Mohamad Noor Hamizan Mohd Johar, 19, yang terjun ke Sungai Pahang dari Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga pelajar Kolej IKIP, Kuantan, dikatakan terjun pada ketinggian 50 meter dari jambatan berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras.

Ketika kejadian, seorang saksi dikenali sebagai Azahari melihat Mohamad Noor Hamizan memberhentikan motosikalnya di laluan motosikal dan berpegang pada pagar jambatan berkenaan, namun apabila ditegur, mangsa marah menyebabkan lelaki itu meneruskan perjalanan.

Roslan berkata, sebelum kejadian mangsa yang tinggal di Taman Temerloh Jaya, di sini, mengejutkan adik bongsunya supaya bangun untuk solat Asar.

“Dia memberitahu adiknya itu untuk keluar sebentar ke kedai dengan menunggang motosikal milik ibunya.

“Mereka (ibu dan adiknya) tidak tahu dia ke jambatan itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mereka mendapat tahu Mohamad Noor Hamizan yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu lemas selepas dimaklumkan orang ramai yang kebetulan berada di lokasi mangsa dilihat terjun.

“Saksi di tempat kejadian mendakwa mangsa dipercayai hanyut sejauh hampir 50 meter dan meminta tolong untuk diselamatkan sebelum lemas,” katanya.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Temerloh Mohd Arshad Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan kekuatan 30 anggota membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh.

Katanya, sebanyak enam bot digunakan untuk operasi berkenaan dengan pencarian dijalankan di kawasan terakhir remaja lelaki itu dilihat sebelum lemas iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa terjun dan jarak pencarian sejauh tiga kilometer ke depan.

“Memandangkan hujan yang lebat pada malam semalam (kelmarin), operasi mencari mengalami sedikit kesukaran kerana paras air Sungai Pahang naik dan keruh.

“Operasi pencarian turut menggunakan unit anjing pengesan (K9) bagi mempercepatkan penemuan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman ketika dihubungi, di sini, semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, petang kelmarin dan memaklumkan operasi mencari mangsa giat dijalankan.

Disiarkan pada: November 5, 2015 @ 9:57am
d