mutakhir

Bina daya tahan global

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Asean perlu membina daya tahan masing-masing bagi memastikan mereka terus bertahan dan kukuh dalam landskap ekonomi serta perniagaan yang saling berhubungan dengan persekitaran globalisasi masa kini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PKS disaran melaksanakan langkah pengantarabangsaan untuk mencapai daya tahan terbabit dan membuka lebih banyak peluang kepada sumber, pelaburan, inovasi dan kepelbagaian.

“Kajian menunjukkan PKS yang melaksanakan langkah pengantarabangsaan lebih cenderung untuk mencatat pertumbuhan pulangan dan pekerjaan sangat tinggi,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Pavilion Perniagaan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di sini, semalam.

Sektor PKS tunjang utama bagi kebanyakan ekonomi negara Asean berikutan ia mewakili lebih 95 peratus daripada jumlah perniagaan di rantau ini dan menyumbang 50 hingga 85 peratus daripada penjanaan pekerjaan domestik secara keseluruhan.

Beliau berkata, PKS yang hanya meneroka pasaran domestik juga perlu memiliki perspektif global dan ia penting kerana mampu memberi kelebihan daya tahan bagi syarikat masing-masing.

“Keperluan membina daya tahan ini bagi membolehkan PKS memberi maklum balas pantas kepada mana-mana ekonomi luaran terutama ketika kerumitan global pada masa kini yang akan menjadikan persekitaran perlu lebih ekonomi dan memiliki daya tahan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya PKS membangunkan jaringan perkongsian perniagaan global komprehensif bagi memacu proses pengantarabangsaan.

“Awal tahun ini di Malaysia, kami turut melancarkan jaringan sama, namun dalam skala kecil dikenali Asean Market Place bertujuan membantu rangsangan perkongsian strategik dan membina hubungan perniagaan dalam komuniti PKS Asean,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2015 @ 10:02am
d