mutakhir

RMHC sasar kumpul RM500,000

Kota Damansara: “Ketika itu, suami hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tidak tetap dan kami cuba memohon bantuan daripada Ronald McDonald House Charities (RMHC) bagi menampung kos pembedahan mulut anak kami.

“Tidak sampai sebulan permohonan kami diluluskan dan pembedahan mulut dilaksanakan pada 2004. Tanpa bantuan RMHC, mungkin kami tidak mampu melakukan pembedahan itu dan mulut anak mungkin sumbing sehingga sekarang kerana ketika itu kos pembedahan menelan belanja RM7,000,” luah Norhafiza Md Yusoff, 38, ibu kepada Nurhaszliana Aleeya Haszlan, 11, kanak-kanak yang dilahirkan bermulut sumbing.

Nurhaszlina menerima bantuan kewangan daripada orang ramai yang menyumbang kepada tabung McDonald’s Malaysia melalui RMHC untuk membuat pembedahan mulut ketika berusia tiga bulan.

Menurut Nurhaszliana, dia sangat terharu dan berterima kasih kepada McDonald dan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kanak-kanak sepertinya dengan menyumbang dan menyediakan platform untuk membantu golongan memerlukan.

Nurhaszliana dan ibunya berkata demikian ketika ditemui sejurus Majlis Pelancaran ‘Show Your Stripes, #DemiRMHC- I’m For Kids’, di Restoran McDonald’s Seksyen 6, di sini, semalam.

Program amal berkenaan usaha terbaru McDonald’s untuk menggalakkan orang ramai menyumbang kepada tabung RMHC bagi membantu golongan kurang bernasib baik terutama kanak-kanak.

Pengarah Urusannya Azmir Jaafar berkata, program yang dilancarkan sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia itu membolehkan rakyat Malaysia menderma dengan membeli stoking ikonik Ronald McDonald di semua restoran McDonald’s di seluruh negara.

“Sumbangan bermatlamat mengukuhkan lagi komitmen McDonald’s untuk membantu masyarakat dengan meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Menerusi kempen ini, kami berharap mengumpul dana RM500,000 dalam masa terdekat bagi menyokong pelbagai inisiatif RMHC yang mampu memberi manfaat kepada lebih 20,000 kanak-kanak dan keluarga kurang bernasib baik,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2015 @ 9:59am
d