mutakhir

Redah banjir selamat buku, nota SPM

Ipoh: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015, Muhammad Aqil Zainurin, 17, sanggup meredah banjir sehingga paras pinggang untuk menyelamatkan buku dan nota ulang kaji di rumahnya yang ditenggelami air di Taman Pulai Raya, Simpang Pulai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Muhammad Aqil yang baru pulang selepas menduduki peperiksaan SPM Sejarah Kertas 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SPM) Simpang Pulai, terkejut mendapati rumahnya dinaiki air.

“Nasib saya baik kerana buku dan nota ulang kaji saya letakkan di atas meja belajar menyebabkan ia tidak dihanyutkan air dan ada sesetengahnya saya bawa ke sekolah.

“Saya sangat risau persediaan SPM saya terganggu kerana persekitaran di tempat pemindahan ini kurang selesa dan bising menyebabkan saya tidak dapat menumpukan perhatian dan hilang fokus mengulang kaji pelajaran. Saya masih ada lagi enam kertas peperiksaan yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Lee Lee Junid, 68, berkata, air mula memasuki rumahnya selepas hujan berterusan selama dua jam dan dia hanya mampu melihat barang elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk ditenggelami air kerana tidak berupaya mengalihkannya.

“Banjir turut menyebabkan air daripada loji kumbahan melimpah memasuki semua rumah berhampiran kawasan kediaman kami,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Kinta, Muhammed Ameen Salleh Mura berkata, hujan berterusan selama lebih tiga jam menyebabkan kawasan itu dinaiki air sedalam hampir satu meter.

Menurutnya, 73 orang daripada 13 keluarga dipindahkan di pusat pemindahan itu setakat ini.

“Air bertakung dan tiada aliran keluar di samping sistem perparitan kurang kemas punca kawasan berkenaan dinaiki air,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2015 @ 10:14am
d