mutakhir

Syabu blink-blink

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Sumbat dadah syabu di dalam ratusan beg tangan ‘blink-blink’ sebelum diseludup masuk ke negara ini. Itu antara taktik sekumpulan lelaki warga Nigeria yang diberkas polis selepas memiliki syabu bernilai lebih RM6 juta.

Suspek dikesan menggunakan khidmat syarikat kurier untuk menyeludup kotak berisi 159 beg tangan itu dari China ke Malaysia.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) menahan empat suspek lelaki di sekitar Kepong, kelmarin.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Sri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, 47 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM6 juta dirampas hasil penahanan tiga lelaki Nigeria dan seorang rakyat tempatan.

“Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir sebuah pasaraya di Puchong di sini, sebelum polis menahan dua suspek warga Nigeria dan merampas tiga kilogram dadah.

“Hasil tangkapan itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek di kediaman mereka di sekitar Puchong. Polis menemui 266 beg wanita di rumah itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 156 beg tangan wanita terbabit berisi dadah disyaki syabu yang disorokkan di dalam bungkusan plastik hitam,” katanya.

Dia berkata, bungkusan dadah itu disembunyikan di dalam ruangan khas di dalam beg tangan itu sebelum dijahit.

Mohd Mokhtar berkata, hasil siasatan polis mendapati dadah itu diseludup masuk dari China.

Katanya, semua suspek berusia 30 hingga 36 tahun terbabit direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kita mempercepatkan proses siasatan bagi memastikan mereka tidak terlepas hukuman,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2015 @ 10:25am
d