mutakhir

Bersusah payah bergelar abang 'sado'

Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka: Dalam usaha bergelar abang ‘sado’, seorang remaja melakukan kerja sampingan termasuk membantu rakan menjual burger pada sebelah malam bagi mengumpul wang membeli makanan tambahan dan membayar yuran latihan di gimnasium.

Kegigihannya berbaloi apabila dia mencapai keputusan membanggakan dalam pertandingan seperti Mr IOI 2015 di Johor baru-baru ini, Mr KL 2015 (tempat kedua bagi kategori junior dan ketiga untuk acara terbuka), Mr Johor (tempat kedua junior), Body Smart MBMB (tempat kedua), Ayer Molek Smart Body (tempat ketiga), Mr Gym 1Malaysia (tempat kelima junior) dan Mahkota Parade Smart Body (tempat keempat).

Muhammad Adil Roslan, 18, dari Kampung Pengkalan Batu, di sini, berkata, dia bangga meraih pelbagai kejayaan walaupun baru setahun aktif dalam sukan bina badan.

Katanya, dia mula menyimpan hasrat memiliki badan tegap dan berotot selepas melihat seorang lelaki bertubuh sasa ketika menemani rakannya menghadiri latihan di sebuah gimnasium di Bukit Baru.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, kejayaan yang dicapai atas dorongan rakan, selain mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih, Mazlan Yaakub, 36.

“Dia (Mazlan) banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada saya kaedah membina otot dan mengekalkan bentuk badan ideal.

“Saya bertuah berlatih dengan jurulatih sepertinya kerana dia membentuk disiplin diri, mengatur pemakanan dan jadual latihan,” katanya.

Remaja itu berkata, individu yang mahu bergelar atlet bina badan harus memiliki ketahanan mental dan fizikal yang tinggi kerana perlu mengangkat bebanan sehingga 80 kilogram (kg) secara berulang dalam tempoh dua jam untuk satu sesi latihan setiap hari.

Dia juga perlu mengikuti diet pemakanan yang disediakan jurulatih dan berpantang dengan tidak menyentuh makanan tertentu untuk menjaga bentuk tubuh dalam tempoh empat hari sebelum menyertai pertandingan.

Menurutnya, sukan itu membentuk disiplin dalam dirinya, sekali gus menghindarnya daripada aktiviti tidak berfaedah.

“Saya menyimpan hasrat mewakili negara pada pertandingan Mr Asia 2016.

“Berikutan itu, saya perlu menjuarai pertandingan bagi kategori junior di peringkat kebangsaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2015 @ 12:42pm
d