mutakhir

Petunjuk baru tembak bekas ADUN

Kuala Terengganu: Polis menemui petunjuk baru dalam kes tembak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, pada 9 Oktober lalu susulan rakaman imej seorang lelaki berpakaian menyerupai baju seorang daripada suspek pada hari kejadian.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman percaya imej diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan imej seorang lelaki membeli minuman di kawasan berhampiran dalam tempoh satu jam sebelum kejadian.

Beliau berkata, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dan mengesan dua suspek dipercayai mengekori mangsa yang menunaikan solat di masjid sebelum melepaskan tembakan di pipinya.

“Hasil siasatan mendapati dua suspek berusia antara 23 hingga 25 tahun dipercayai menaiki motosikal Honda EX5 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran sebelum melarikan diri sebaik melepaskan tembakan.

“Siasatan turut mendapati, pembonceng motosikal melepaskan tembakan memakai baju putih, berseluar jean biru lusuh, kasut sukan berwarna putih dan mempunyai beg silang serta memakai topi keledar berwarna merah bervisor gelap.

“Rakannya yang menunggang motosikal memakai baju gelap, berseluar jean biru lusuh, memakai topi keledar berwarna merah bervisor hitam, berkasut dan berbadan sasa serta tegap dengan kedua-dua lelaki dianggarkan berketinggian 175 sentimeter,” katanya.

Rosli berkata, hasil siasatan, polis percaya kedua-dua suspek orang tempatan dengan suspek yang menembak mangsa adalah seorang berkemahiran tinggi mengendalikan senjata api.

Katanya, kerjasama orang awam diperlukan bagi membantu mengesan lelaki terbabit. Penahanan suspek dapat membantu siasatan kes tembak membabitkan mangsa yang juga seorang peguam di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Bukit Payong, Marang, 9 Oktober lalu.

“Kami percaya lelaki itu orang sama dengan seorang daripada suspek dan yakin penahanannya dapat menyelesaikan kes ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diharapkan dapat menghubungi Pegawai Turus Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Azlan Abd Kadir di talian 012-4383441 dan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintedan Othman Ibrahim (013-9315485) atau datang terus ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2015 @ 12:48pm
d