mutakhir

Mentua mungkin lupa jalan pulang

Sariah berkata, dia tidak menolak kemungkinan bapa mentuanya terlupa jalan untuk pulang ke rumah kerana mangsa seorang yang pelupa.

Kebiasaan bapa mentua masuk ke hutan sendirian untuk mencari akar kayu antara dua dan tiga malam dengan membawa bekalan beras, periuk dan beberapa kelengkapan lain.

“Sebelum dia (bapa mentua) masuk ke hutan, dia ada memberitahu adik ipar, Mat Shariff Abdul Hakim, 18, mahu masuk hutan semalam saja tapi sekarang belum pulang ke rumah.

“Masalah kehilangan itu diberitahu adik ipar kepada suami saya Jalley Udang, 28, sebelum penduduk kampung dikerah mencari mangsa di kawasan sekitar,”katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Abdul Hakim dilaporkan hilang sebaik memasuki kawasan hutan berhampiran Kampung Lebir, Aring 5 untuk mencari akar kayu dan ikan.

Laporan polis dibuat anak lelakinya, Jalley di Balai Polis Paloh, Jumaat lalu selepas dia bersama penduduk kampung gagal menemui bapanya yang tidak pulang ke rumah sejak sembilan hari lalu.

Menurut Sariah, bapa mentuanya tinggal bersama adik bongsu di rumah terletak 40 meter dari rumahnya dan dia juga selalu mengambil berat mengenai kehidupan bapa bersama adik bongsu itu.

“Sejak dulu, saya melarangnya masuk hutan kerana bimbang dengan kesihatan, tetapi tidak dihiraukan dan bapa mentua juga tidak membenarkan anak-anak mengikutnya,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2015 @ 8:06am
d