mutakhir

Kimia beracun bocorKimia beracun bocor

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Khairul Najib Asarullah Khan

Seremban: “Kami panik sejurus terdengar siren kecemasan. Kami sangkakan berlaku kebakaran sebelum mendapati cecair kimia beracun bocor,” kata pekerja elektronik di Jalan Bunga Tanjung 1, Senawang, di sini.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, cecair kimia Hidrogen Peroksida (H2O2) di dalam tangki di kilang itu dikesan bocor sebelum semua pekerja diarahkan lari menyelamatkan diri.

Pekerja itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ishak berkata, kejadian itu dianggap mencemaskan apabila mereka diberitahu wap cecair itu boleh memberi kesan terhadap sistem paru-paru sekiranya dihidu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi.

Katanya, seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Senawang dan Seremban 2 dikerah ke lokasi termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati tangki simpanan cecair H2O2 di kilang itu bocor dan mengakibatkan pelepasan gas beracun.

“Kami (bomba) menganggarkan cecair dalam tangki sebanyak 2,000 liter. Anggota HAZMAT terpaksa memindahkan cecair berkenaan ke dalam tangki simpanan lain bagi mengelak pelepasan lebih banyak gas beracun ke udara,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama, seramai 90 pekerja turut dipindahkan ke kawasan selamat bagi mengelak terhidu wap cecair berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut turut dijalankan di kawasan berhampiran bagi memeriksa sama ada wap cecair itu merebak atau sebaliknya,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, wap cecair itu boleh menjejaskan kesihatan terutama sistem paru-paru sekiranya sesiapa terhidu.

“Dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2015 @ 8:08am
d