mutakhir

Perkecil jurang

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dengan masyarakat setempat bagi memastikan jurang antara masyarakat dan pihak berkuasa dapat dirapatkan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia sekali gus membantu mengekang kegiatan jenayah ke tahap minimum dan ruang secukupnya diberikan kepada masyarakat bagi menyalurkan maklumat melalui pelbagai medium.

Beliau berkata, jurang antara masyarakat dan pihak berkuasa, khususnya PDRM semakin rapat disebabkan komitmen kedua-dua pihak untuk saling bekerjasama dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.

“PDRM melihat jurang antara masyarakat dan polis semakin mengecil di mana kerjasama antara kedua-dua pihak diperkukuhkan dengan pelbagai program komuniti.

“Apabila jurang ini dapat dikecilkan, maklumat mengenai pelbagai masalah jenayah di kawasan komuniti dapat disalurkan dengan lebih mudah dan tindakan segera dapat diambil polis di peringkat balai polis mahupun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Meja Bulat Bandar Selamat anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar dan Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.

Sementara itu, Lam Thye berkata, MCPF akan meneruskan program Meja Bulat di seluruh negara dalam usaha untuk memastikan persoalan yang ingin diketahui masyarakat mengenai jenayah dapat dikongsi terus bersama PDRM.

“Pencegahan jenayah ini penting untuk disampaikan kepada masyarakat supaya perasaan takut kepada jenayah dapat dikurangkan selain meningkatkan keyakinan mereka kepada pihak berkuasa.

“Oleh itu, sesi meja bulat ini dilihat satu inisiatif yang baik bukan saja kepada masyarakat tetapi ia turut membantu pihak berkuasa, khususnya polis mengetahui keperluan yang dikehendaki masyarakat untuk mewujudkan persekitaran selamat,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2015 @ 8:19am
d