mutakhir

Debaran nanti pemilihan UNESCO

Paris: Hari ini, wakil negara yang menghadiri Persidangan Agung ke-38, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), di sini akan mengundi bagi memilih ahli Lembaga Eksekutif pertubuhan itu bagi sesi 2015-2019.

Malaysia bersama tujuh lagi negara dari rantau Asia Pasifik iaitu Afghanistan, Pakistan, Samoa, Korea Selatan, Iran, Sri Lanka dan Vietnam akan bertanding menduduki enam daripada lapan kerusi Lembaga Eksekutif yang diperuntukkan bagi wilayah itu.

UNESCO mempunyai 195 negara anggota tetapi ada yang tidak hadir pada sidang kali ini dan tidak layak mengundi kerana sebab teknikal.

Delegasi Malaysia yang MEMBABITKAN pegawai Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Luar, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertungkus-lumus sejak hari pertama persidangan bermula pada 2 November lalu bagi melobi.

Secara keseluruhannya ada 58 kerusi Lembaga Eksekutif tetapi dibahagikan mengikut kumpulan yang mana Malaysia di dalam kumpulan Asia Pasifik.

Menduduki kerusi Lembaga Eksekutif akan mebolehkan negara lebih aktif termasuk berkongsi pelbagai pengalaman dan inisiatif di peringkat antarabangsa, khususnya negara kurang membangun, kepulauan kecil dan Afrika dalam bidang pendidikan dan sains di negara berkenaan.

Malaysia menduduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO sebanyak lima kali sebelum ini sejak menganggotai pertubuhan dunia itu pada 1958.

Bagaimanapun, kali ini, Malaysia menawarkan diri sekali lagi menduduki kerusi itu berikutan keyakinan bahawa inisiatif yang dilakukan dalam negara untuk membangunkan pendidikan, sosial dan sains dalam kalangan belia berupaya dikongsi bersama negara kurang membangun, kepulauan kecil dan Afrika.

Di bawah struktur organisasi UNESCO, tiga badan penting bertanggungjawab menentukan hala tuju pertubuhan terbabit iaitu Lembaga Eksekutif, Sekretariat UNESCO dan Persidangan Agung.

Usaha melobi bagi mendapatkan sokongan negara anggota dilakukan sejak 2013 menerusi Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, Datuk Mohd Zulkifli Mohammed, apabila kerajaan bersetuju supaya Malaysia bertanding bagi kerusi itu.

Delegasi Malaysia diketuai Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang diiringi Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Sejak hari pertama, Malaysia menganjurkan beberapa majlis resepsi yang menjemput perwakilan negara asing menyaksikan pelbagai pameran hasil inisiatif negara dalam bidang tumpuan UNESCO terutama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2015.

Disiarkan pada: November 11, 2015 @ 8:55am
d