mutakhir

Pelaksanaan GST mula difahami

Georgetown: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) sejak 1 April lalu, mendapat reaksi positif dan mulai diterima serta difahami orang ramai.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Barang dan Perkhidmatan) Datuk T Subromaniam berkata, jika sebelum ini lebih 800 aduan diterima, tapi kini tiada satu pun aduan diterima pihaknya.

Beliau berkata, ia menunjukkan satu perkembangan baik berikutan penguatkuasaan GST berjaya menyelamatkan ekonomi negara kerana ia memberikan manfaat kepada semua sektor.

“Jika sebelum ini pihak KDRM mengadakan Seminar GST kepada sektor pengilangan, kini taklimat sama diberikan kepada pengusaha di sektor hartanah serta pembinaan.

“Menerusi seminar ini, ia dapat memberikan gambaran dan maklumat paling jelas kepada semua pihak supaya tidak salah faham atau keliru dengan pelaksanaannya yang kini sudah menjangkau hampir lapan bulan sejak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika merasmikan Seminar GST 2015 anjuran Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (Perkasa) Cawangan Pulau Pinang, semalam.

Disiarkan pada: November 12, 2015 @ 8:33am
d