mutakhir

Puas hati perkembangan projek MRT

Kuala Lumpur: Bangga dan berpuas hati dengan perkembangan semasa projek Mass Rapid Transit (MRT), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin jajaran pertama projek itu dapat beroperasi menjelang akhir tahun depan seperti dijadualkan.

“Saya melihat apa yang kita rancangkan selama ini, hari ini menjadi kenyataan, maka sasaran kita supaya MRT Line pertama dapat beroperasi akhir tahun hadapan dapat dipenuhi,” katanya kepada pemberita semasa melawat depot tren MRT di Sungai Buloh dekat sini, semalam.

Menurutnya, MRT kini memiliki 19 tren dan akan menerima 35 tren lagi menjelang pertengahan tahun depan.

Dalam pada itu, Najib berkata, projek pembinaan MRT itu membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan disertai syarikat tempatan, sekali gus menunjukkan adanya elemen pemindahan teknologi.

“Kita dapat lihat peluang pekerjaan untuk ramai anak Malaysia yang mempunyai kelulusan dan pengalaman, dengan mereka dilibatkan dalam pembangunan MRT merupakan pengalaman cukup berharga (buat mereka),” katanya.

Terdahulu, Najib tiba pada jam 5.25 petang untuk melawat depot MRT Sungai Buloh yang dibina Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) sejak Julai 2011.

Ia lawatan pertamanya ke depot berkenaan dan lawatan keempat beliau ke projek MRT Lembah Klang (KVMRT). Sebelum ini, beliau pernah melawat Syaf Pelancaran Cochrane sebanyak dua kali dan Stesen MRT Tun Razak Exchange sekali.

Pada lawatan kali ini, perdana menteri dibawa ke Bengkel Penyelenggaraan Stok Keretapi untuk melihat tren MRT yang siap dipasang sepenuhnya dan diuji.

Sepanjang lawatan itu, Najib turut mendengar penerangan dan taklimat Pengarah Projek MRT Corp bagi laluan Sungai Buloh-Kajang, Marcus Karakashian.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa yang juga pengerusi MRT Corp, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Syed Hamid Albar, pengurusan tertinggi MRT serta wakil-wakil pelaksana projek iaitu MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd, Siemens dan SMH Rail Sdn Bhd.

Disiarkan pada: November 12, 2015 @ 8:37am
d