mutakhir

Mesej hukum bunuh

Kuala Terengganu: “Saya berani katakan cgu (cikgu) Man dah murtad dan wajib dihukum bunuh,” demikian kandungan mesej WhatsApp yang ditujukan kepada Pengerusi Kelab Penyokong Pakatan Harapan Negeri Terengganu, Othman Ismail.

Menurut Othman, 56, ugutan berkenaan dihantar seorang daripada individu yang turut ada dalam kumpulan WhatsApp dikenali Arena Politik Royalti, kelmarin.

“Saya terima mesej berkenaan pada jam 3.10 petang semalam (kelmarin) ketika berada di rumah di Kuala Ibai.

“Saya percaya mesej itu dihantar berikutan keputusan saya untuk mengubah hala tuju politik daripada PAS kepada Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Terengganu sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkaitan ugutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, semalam.

Othman berkata, dia beberapa kali menerima ugutan daripada individu berkenaan tetapi tidak mengendahkannya sebelum ini.

“Bagaimanapun, kali ini saya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri pada masa depan selepas mendapat nasihat daripada rakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Nik Mohd Zain Nik Omar mengesahkan ada menerima laporan polis berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan.

Disiarkan pada: November 12, 2015 @ 8:46am
d