mutakhir

Tambah koleksi

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Minat mengumpul kenderaan lama mendorong seorang usahawan muda membelanjakan RM11,000 untuk membida lapan kenderaan pada lelongan awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pejabat JPJ Melaka di Bukit Katil, di sini, semalam.

Kenderaan dibeli usahawan itu membabitkan tiga Honda C70, sebuah Yamaha RXZ ‘Boss’, Suzuki RG Sport, Proton Wira, Nissan Sunny dan lori satu tan jenis Toyota.

K Sasivarnan, 21, berkata, kenderaan itu bakal menjadi sebahagian daripada koleksinya yang sebelum ini sudah memiliki 10 motosikal dan tujuh kereta membabitkan pelbagai jenama.

Katanya, dia amat teruja menghadiri sesi lelongan itu kerana mahu memastikan impiannya memiliki Yamaha RXZ dan Honda C70 menjadi kenyataan kerana model itu semakin sukar ditemui.

“Yamaha RXZ adalah model keluaran siri ketiga yang kini menjadi buruan pengumpul dan peminat motosikal lama. Saya amat bertuah kerana dapat membeli jentera dengan enjin dua lejang itu pada harga RM2,500 kerana harga mengikut pasaran semasa adalah lebih RM7,000.

“Ini adalah pengalaman pertama saya menyertai lelongan awam, memang agak mendebarkan kerana risau motosikal idaman terlepas ke tangan orang lain, namun dalam masa 15 minit kemudian jentera yang tersohor satu ketika dulu sah menjadi milik saya,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 13, 2015 @ 10:44am
d