mutakhir

Harimau RM50,000

Oleh Mohd Razlan Salleh

Kota Kinabalu: Seorang lelaki terpaksa membayar denda RM50,000 selepas didapati bersalah memiliki harimau dahan, spesies haiwan dilindungi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah William Baya berkata, lelaki berkenaan dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, semalam, apabila gagal mengemukakan dokumen pemilikan sah.

“Lelaki ini didakwa memiliki spesies harimau dahan atau Clouded Leapard iaitu haiwan yang dilindungi sepenuhnya mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 tanpa dokumen pemilikan yang sah.

“Hakim Ainul Shahrin Muhammad kemudian menjatuhkan hukuman denda RM50,000 atau penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

William berkata, harimau dahan haiwan kategori terdedah (vulnerable) mengikut senarai Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN).

“Haiwan ini juga turut disenaraikan sebagai spesies terancam dalam Lampiran 1 Pemuliharaan Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna (CITES) iaitu tidak boleh diperdagangkan sama ada di dalam atau di luar negara.

“Larangan ini menjadikan harimau dahan tidak boleh diburu kerana populasinya terdedah kepada ancaman kepupusan selain tidak boleh diperdagangkan termasuk melalui laman sosial Facebook dan sebagainya,” katanya.

Menurut Wiiliam, hukuman dikenakan satu amaran kepada individu yang didapati memiliki hidupan liar tanpa lesen supaya menyerahkannya kepada JHL.

“Individu berniat menjual spesies hidupan liar melalui media sosial dinasihat usah berbuat demikian,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2015 @ 7:34am
d