mutakhir

Bawa lari kepala 250km

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Rosman Shamsudin

Slim River: Kepala lelaki yang dipenggal pemandu lori kontena dalam kejadian di Kampung Batu 4, di sini, awal pagi semalam, dilarikan suspek sejauh 250 kilometer sebelum disembunyikan di kediaman bapanya di Kampung Air Jada, Gerik, dekat sini.

Dalam kejadian jam 2 pagi, mangsa dibunuh dengan badannya dibuang dalam longkang di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, di Kampung Batu 4, di sini, manakala kepalanya tidak ditemui di tempat kejadian.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 50 tahun dipercayai bergaduh dengan pemandu lori kontena itu di tepi jalan berkenaan dan suspek bertindak ganas apabila memukul mangsa sebelum memancung kepalanya disyaki menggunakan parang atau pedang.

“Selepas membunuh mangsa, suspek ambil kepala mangsa sebelum melarikan diri dengan lori dipandunya.

“Hasil maklumat daripada kejadian itu, pada jam 9 pagi tadi (semalam), polis mengesan dan menahan lori suspek di depan pintu masuk Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, dekat sini, namun difahamkan lori berkenaan dipandu rakan sekerja suspek,” kata sumber itu di sini, semalam.

Sumber itu berkata, pemeriksaan terhadap lori berkenaan gagal menemui kepala mangsa dan difahamkan, suspek memandu kenderaan berat itu pada syif malam sebelum meninggalkannya di tempat letak kenderaan milik majikannya di Simpang Pulai, Ipoh, manakala pemandu yang ditahan itu bertugas pada syif pagi.

Menurut sumber itu lagi, berdasarkan soal siasat, suspek berusia 30-an membunuh mangsa selepas mendengar ‘bisikan’ yang mengarahkannya memenggal kepala lelaki berkenaan, sebelum membungkusnya dengan plastik sampah hitam.

“Suspek pulang ke rumah bapanya di Gerik dan serbuan sepasukan polis berjaya memberkasnya pada jam 2 petang tadi (semalam) serta menemui kepala mangsa dalam bungkusan plastik hitam itu,” kata sumber.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, sejurus mendapat maklumat, pihaknya ke lokasi kejadian. Siasatan menemui kesan darah di atas jalan raya sebelah kiri arah selatan (arah Slim River) dan pemeriksaan menemui mayat tanpa kepala di dalam longkang berhampiran.

“Berdasarkan siasatan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Forensik, kami menemui salinan dokumen pengenalan diri dipercayai milik mangsa iaitu K Ganesan, 50, yang beralamat di Taman Slim Indah, di sini,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menahan lori yang dipandu suspek di RTC Gopeng, dekat sini.

“Polis menahan suspek beberapa jam kemudian di kediaman bapanya di Gerik, bersama barang kes (kepala) dan siasatan menyeluruh dijalankan,” katanya.

Ahmad berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, dekat sini, untuk dibedah siasat.

Disiarkan pada: November 14, 2015 @ 7:37am
d