mutakhir

Serbu 15 premis judi degil

Kuala Lumpur: Kedegilan pengusaha pusat perjudian komputer di Seri Kembangan dan Subang Jaya, Selangor yang terus beroperasi walaupun sering dikenakan tindakan, memaksa polis menggandakan usaha bagi membanteras kegiatan itu.

Dalam Ops Dadu yang bermula jam 10 malam kelmarin dan berakhir 2 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu 15 pusat perjudian di kawasan terbabit.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya menerima aduan dan maklumat daripada orang awam ada pemilik yang masih tidak serik dan kembali meneruskan perniagaan mereka.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya menggandakan usaha dengan membuat serbuan serentak di 15 premis terbabit sehingga membawa kepada tangkapan 15 pelanggan.

“Turut ditahan lapan penjaga dan pekerja premis berusia antara 22 hingga 30 tahun.

“Pemilik yang degil itu turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) pada pintu masuk elektronik premis bagi memudahkan mereka memantau kehadiran polis,” katanya.

Roslee berkata, pihaknya juga merampas 532 komputer riba, 31 mesin judi dan 20 modem.

“Semua individu ditahan bersama barang rampasan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan IPD Serdang untuk siasatan lanjut.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun.

Disiarkan pada: November 15, 2015 @ 5:31am
d