mutakhir

Nahas gerak perlahan

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Tiga pelajar dan seorang pemandu bas parah selepas bas dua tingkat dinaiki mereka merempuh belakang treler di Kilometer 292.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi, mangsa terbabit ialah tiga pelajar Sekolah Menengah Islam Hira’ Jeram, Selangor dikenali sebagai Abdullah Radzuan, 16, Haziq Fikri Hairuddin, 16, dan Muammar Mohd Khairi, 16, selain pemandu bas terbabit, Azman Yahaya, 41.

Ketika kejadian itu, semua pelajar tingkatan empat sekolah terbabit dalam perjalanan mengadakan lawatan sambil belajar ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UNSIZA), Kuala Nerus.

Difahamkan, insiden berlaku ketika bas dipandu Azman dipercayai gagal mengelak trelar di depan sebelum merempuh kenderaan berat terbabit yang sarat membawa muatan kayu.

Seorang daripada pelajar yang menyertai rombongan itu, Ahmad Muttaqi Mohd Zawawi, 16, berkata, ketika kejadian, rakannya, Abdullah yang duduk di sebelahnya pergi ke tempat duduk pemandu bas untuk mengecas telefon bimbit.

“Saya ketika itu rancak berbual bersama beberapa rakan lain sebelum terdengar satu letupan dan tercampak dari tempat duduk.

“Selepas beberapa ketika, saya menyedari luka di bahagian mulut dan kaki. Dalam menahan kesakitan, saya menuju ke depan dan mendapati rakan saya itu serta pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Ahmad Muttaqi berkata, dia cuba menarik rakan dan pemandu bas itu, namun gagal.

“Suasana dalam bas ketika itu riuh-rendah dan saya cuba menarik rakan dan pemandu bas, tetapi gagal kerana kedua-dua mereka tersepit di bahagian depan bas yang remuk,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian naik ke bahagian atas bas untuk mencari gurunya, tetapi kemudian mendapati dua lagi rakan, Haziq Fikri dan Muammar yang duduk di bahagian depan turut tersepit pada sebatang besi.

“Bimbang melihat mereka parah, saya memberanikan diri keluar dari bas sebelum meminta bantuan beberapa pengguna lebuh raya.

“Mujur ramai pengguna berhenti untuk memberi bantuan kepada kami,” katanya yang juga anak kepada penceramah agama terkenal, Mohd Zawawi Yusoff.

Sementara itu, guru pengiring, Fatin Aqilah Razman, 24, berkata, rombongan itu membabitkan seramai 54 pelajar dan tujuh guru pengiring.

“Kami bertolak dari Selangor jam 9 malam dan tidak sangka terbabit dalam kemalangan ini kerana bas dipandu perlahan.

“Mujur kemalangan ini tidak membabitkan kematian,” katanya yang memberitahu dia sempat menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan.

Menurutnya, tidak lama selepas membuat panggilan, beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba dan ambulans dari Hospital Kemaman tiba untuk memberi bantuan.

“Semua pelajar tidak termasuk yang parah kemudiannya dibawa dengan sebuah bas lain sebelum ditempatkan di Pusat Pendidikan Al Amin, Kemaman,” katanya yang cedera di pipi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu, namun pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu merempuh treler di depan.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut. Keadaan cuaca baik ketika kejadian itu,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2015 @ 4:55am
d