mutakhir

Subur budaya alumni demi pembangunan UNIMAS

Kota Samarahan: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) gigih mengesan bekas penuntut untuk aktif dalam program alumni dan menyumbang kepakaran mereka kepada pembangunan universiti.

Universiti mewujudkan cawangan alumni di seluruh negara iaitu Zon Utara, Selatan, Timur, Tengah, Sabah dan Sarawak.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, universiti serius menjalankan program alumni, tetapi bekas penuntut sukar mengambil bahagian kerana sibuk dengan komitmen masing-masing.

Beliau berkata, budaya alumni di negara ini masih lemah, malah universiti yang lama bertapak di negara ini juga menghadapi masalah mengukuhkan alumni mereka.

“Alumni sekadar nama saja, sebaik tamat belajar, masing-masing sibuk membina kerjaya, keluarga dan universiti sekadar kenangan. Agaknya, bekas penuntut tidak ingat dengan UNIMAS lagi.

“Namun, saya yakin ada bekas penuntut yang komited dengan aktiviti alumni dan setiap kali menerima jemputan mereka sanggup mengorbankan masa menghadiri program dianjurkan,” katanya ketika sidang media Pra Konvokesyen, di sini.

Sejak konvokesyen pertama pada 1997 sehingga ke-19 tahun ini, UNIMAS melahirkan 28,178 graduan dan daripada jumlah itu, 12,194 graduan berasal dari Sarawak.

Fadzil berkata, tiba masa alumni UNIMAS menyumbang kembali kepada universiti termasuk kewangan.

Katanya, jika 28,178 alumni menyumbang RM100 seorang, UNIMAS mempunyai dana RM2.8 juta.

“Banyak program pembangunan universiti boleh dijalankan menerusi dana itu termasuk memberi bantuan kebajikan kepada penuntut sedia ada,” katanya.

Menurutnyaa, tahun depan UNIMAS merancang mengadakan makan malam terbesar bagi mengumpulkan alumni universiti itu.

“Majlis itu mungkin diadakan di Kuala Lumpur dan kita berharap mendapat sambutan bekas pelajar,” katanya.

Alumni UNIMAS boleh mengetahui perkembangan lanjut mengenai program dianjurkan menerusi laman sesawang www.alumni.unimas.my atau Facebook Unimas Alumni Group.

Disiarkan pada: November 16, 2015 @ 5:22am
d