mutakhir

Bukan fitnah

Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Mahkamah Tinggi negeri semalam, menolak saman fitnah Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy terhadap akhbar New Straits Times (NST) dan seorang wartawannya berhubung artikel dalam talian akhbar itu yang disiarkan pada 4 Disember 2014.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua plaintif membayar kos RM100,000 kepada kedua-dua defendan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azmi Ariffin dalam penghakimannya berkata, laporan berita yang dimuat naik dalam laman web NST bertajuk ‘Indian-interest group claims thugs interrupted meeting’ itu disifatkan sebagai bukan fitnah atau berniat jahat.

“Selepas mempertimbangkan hujah peguam yang mewakili plaintif dan defendan mahkamah mendapati artikel berkenaan tidak memfitnah plaintif dalam keadaan kes ini.

“Mahkamah juga mendapati, defendan berada dalam sidang media terbabit dan mencatat dengan tangan sebagai sumber lisan pertama. Malah, artikel itu dilihat tidak berniat jahat atau untuk mengapi-apikan kerana defendan menggunakan perkataan seperti ‘dipercayai’ dan ‘didakwa’ dalam laporannya,” katanya.

Dalam tuntutan saman berkenaan, Guan Eng dan Ramasamy secara bersama menuduh wartawan NST, Predeep Nambiar dan NST dengan sengaja, tidak betul dan berniat jahat menyebabkan artikel itu ditulis, dicetak dan diterbitkan.

Menerusi tuntutan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan bersama-sama permohonan maaf yang diterbitkan akhbar berkenaan. Malah, plaintif juga menuntut artikel berkenaan ditarik semula.

NST dan Predeep diwakili peguam Leong Wai Hong manakala plaintif diwakili, Datuk N Mureli.

Disiarkan pada: November 17, 2015 @ 5:19am
d