mutakhir

Bahaya perisa bahan khayal

Johor Bahru: Perbuatan pengguna vape yang memasukkan bahan terlarang termasuk ganja dan air ketum sebagai perisa boleh menyebabkan usaha kerajaan untuk membendung gejala penagihan dadah gagal.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, kebimbangan isu itu berasas kerana pihaknya menemui bukti penyalahgunaan berkenaan.

“Terdapat kes yang berlaku sebelum ini apabila pengguna vape dikesan memasukkan bahan terlarang termasuk air ketum dan ganja sebagai perisa.

“Rakyat Malaysia dikenali kerana pandai mengubah suai sesuatu benda dan seperti diketahui peralatan vape boleh menggunakan pelbagai perisa dan dicampur dengan bahan terlarang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Fit @ HSAJB ‘Aku Nak Sihat’ peringkat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Mohd Khairi Yakub dan Pengarah Hospital HSA Dr Rooshaimi Merican A. Rahim Merican.

Seramai 200 kakitangan HSA mengambil bahagian dalam program Fit @ HSAJB yang bermatlamat menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti menaiki tangga, chairobic dan ‘brain gym’ untuk meningkatkan status kecerdasan serta kecergasan peserta.

Dalam pada itu, Ayub berkata, pihaknya sudah mengesan beberapa penjawat awam di negeri ini yang disyaki menyalahgunakan dadah dan lari daripada menjalani proram pemulihan di bawah program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD).

Disiarkan pada: November 17, 2015 @ 5:51am
d