mutakhir

Kaki taruh tergugat

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Klang: Aktiviti segelintir individu yang mahu bergelar ‘jutawan segera’ di daerah ini yang mempertaruhkan nasib dengan berjudi untuk hidup senang sekelip mata semakin tergugat berikutan banyak premis judi diserbu polis.

Serbuan berterusan Bukit Aman dan polis negeri ini juga menyebabkan pengusaha premis judi di daerah ini panas punggung apabila pelbagai taktik digunakan mereka dengan mudah ditumpaskan.

Walaupun beroperasi dalam premis bertutup, selain dikawal kamera litar tertutup (CCTV) namun taktik itu masih dapat dikesan hasil risikan berterusan polis.

Kelmarin, 15 premis judi dalam talian di sekitar Bandar Baru Klang dan Bukit Raja di sini, diserbu Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Dalam serbuan bermula jam 4 petang dan berakhir tiga jam kemudian, 205 komputer riba digunakan tahi judi untuk mencuba nasib dirampas polis.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Abdul Ghofar Ahmad berkata, pada Ops Dadu itu juga, pihaknya menahan 16 individu membabitkan sembilan tahi judi dan tujuh penjaga premis berusia 20-an hingga 40-an.

“Antara penjaga premis ditahan seorang wanita warga Indonesia yang menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di negara ini. Kami merampas wang tunai hasil kutipan harian premis berjumlah RM964 selain empat komputer riba juga sembilan modem.

“Operasi ini dilakukan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Shah Alam,” katanya, semalam.

Menurut Abdul Ghofar, pihaknya akan terus menggempur premis judi dalam talian di Selangor.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke IPD Klang Utara untuk siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1963.

Disiarkan pada: November 18, 2015 @ 5:16am
d