mutakhir

STAGG buru dalang sindiket judi

Kuala Lumpur: Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menggiatkan usaha memburu dalang sindiket judi di seluruh negara dengan menyamar sebagai kaki judi.

Taktik itu adalah sebahagian kaedah digunakan polis untuk mengenal pasti lokasi serta individu yang terbabit secara langsung dalam jenayah terancang itu.

Difahamkan, kebanyakan dalang sindiket ini merancang untuk menghidupkan kembali kegiatan jenayah yang sebelum ini beroperasi menggunakan kedai atau premis tersembunyi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya menegaskan, polis sehingga kini sudah menahan 53 penganjur rumah judi haram sejak awal Januari lalu.

Katanya, usaha itu dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti haram itu berjaya disekat dan tidak dihidupkan kembali.

“Syabas, STAGG berjaya menangkap 53 individu penganjur dan tauke judi di seluruh negara sejak Januari tahun ini mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Usaha ini akan dilakukan secara berterusan dan kerjasama dalam menyalurkan maklumat daripada orang ramai amat dialu-alukan,” katanya.

Sementara itu, Khalid turut memuji Polis Melaka dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menggempur aktiviti perjudian di negeri terbabit dengan tangkapan lapan suspek serta merampas 65 komputer judi, kelmarin.

Disiarkan pada: November 18, 2015 @ 5:28am
d