mutakhir

20,000 pelatih PLKN 2.0 ikuti program di 81 kem

Sepang: Seramai 20,000 pelatih yang dikenal pasti akan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 di 81 kem seluruh negara bagi sesi Mac hingga Mei, tahun depan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kumpulan pelatih itu adalah yang pertama akan mengikuti modul baru PLKN itu selepas program perintis PLKN 2.0 diadakan di Kem Princess Haliza, di sini sejak Oktober lalu.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan modul baru PLKN kerana ia membabitkan transformasi inklusif.

“Modul yang diperkenalkan dalam transformasi itu sangat relevan dengan landskap dunia dan isu semasa, sekali gus membantu generasi muda bersedia untuk berdepan pelbagai ancaman dunia pada masa ini.

“Modul baru itu juga memberi peluang kepada pelatih mencorakkan masa depan mereka dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang vokasional, malah modul itu juga akan mengajar pelatih cara terbaik menguruskan kewangan mereka,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Projek Perintis PLKN 2.0 di Kem PLKN Princess Haliza di sini, semalam.

Disiarkan pada: November 18, 2015 @ 5:39am
d