mutakhir

Sepakat lakar kejayaan

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Alhamdulillah, segala penat lelah kami berlatih ada kalanya sehingga 4 pagi berbaloi dengan kemenangan utama ini,” kata Zuratul Ain Zainol Abidin.

Zuratul Ain dan rakan pasukan debatnya, Adzlan Qushaimi Jamaludin masing-masing berusia 22 tahun dinobatkan johan kategori bahasa Melayu dalam Pertandingan Akhir Debat Perdana Gender 2015 di Universiti Malaya (UM), kelmarin.

Mereka yang mewakili Universiti Teknologi MARA (UiTM) membawa pulang wang tunai RM3,500, trofi serta sijil penyertaan disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM Prof Datuk Dr Rohana Yusof.

Menurut Zuratul Ain, mereka tidak menyangka usaha secara berterusan sejak awal tahun membuahkan hasil membanggakan apabila menewaskan tiga pasukan dari universiti lain.

“Kejayaan ini milik warga UiTM termasuk jurulatih yang banyak membantu kami.

“Kami tidak sangka menang kerana semua pasukan hebat, tetapi percaya usaha berterusan selama ini memang banyak membantu dalam pertandingan ini.

“Paling bermakna kemenangan ini adalah kenangan manis buat saya selepas menyertai tiga kali pertandingan sama dan ia kali pertama saya menjuarainya,” katanya.

Sementara itu, Shahrulbanun Mohd Ariff Sabri, 24, dan rakan debatnya, Mubarrat Wassey, 24, mengharumkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas menjuarai pertandingan sama dalam kategori bahasa Inggeris.

Shahrulbanun berkata, sikap toleransi dan saling memahami antara dia dan Mubarrat terutama dalam setiap latihan persediaan menjadi rahsia kemenangan mereka.

“Mubarrat bukan saja kawan baik dan rakan debat saya dalam pertandingan, tetapi dia juga antara orang yang banyak melatih saya menjadi pendebat yang baik,” katanya.

Sebanyak 104 pasukan membabitkan 56 pasukan bagi kategori bahasa Melayu dan 48 kategori bahasa Inggeris mewakili 37 institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara bersaing dalam pertandingan debat ala Parlimen British itu bermula 13 November lalu.

Disiarkan pada: November 18, 2015 @ 5:40am
d