mutakhir

Yuna tarik diri

Oleh Syanty Octavia Amry

Kuala Lumpur: Penyanyi Yuna terpaksa menarik diri daripada menyertai pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 30 yang akan berlangsung pada 22, 29 November dan 6 Disember ini kerana terikat dengan jadual kerja yang padat di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Pengurusnya, Nor Zaina Wardah berkata, jika Yuna yang sepatutnya membawa lagu berjudul Lautan bertanding kali ini, mereka terpaksa menggunakan khidmat penyanyi lain untuk kali ketiga.

Dalam Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27), Yuna menggunakan khidmat Aizat untuk menyanyikan lagu Terukir Di Bintang manakala Najwa Mahiaddin & The Palauans menyanyikan lagu Lelaki dalam AJL29 tahun lalu.

Nor Zaina berkata, Yuna terlalu sibuk di AS dan dia memang tidak dapat hadir untuk peringkat separuh akhir termasuk peringkat akhir jika lagu itu layak.

“Sudah beberapa kali Yuna meminta penyanyi lain menyanyikan lagunya. Walaupun TV3 membenarkan dia menggunakan penyanyi lain, tetapi Yuna kurang selesa apabila dia sendiri tidak dapat beraksi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Hiburan Prime Works Studio Sufian Isa berkata, pihaknya menerima baik alasan diberikan pihak Yuna.

“Kami boleh terima alasan mereka dan tiada masalah di pihak kami. Kami juga tidak akan menyenaraihitamkan Yuna kerana yakin dengan alasan diberikan,”katanya.

Keputusan itu sekali gus melayakkan lagu Hey Kau nyanyian Sandra layak ke separuh akhir Muzik Muzik 30.

Lagu ciptaan Tam Spider dan lirik Iman Imran itu sebelum ini menduduki tangga ke-31 carta Muzik Muzik.

Sebanyak 30 lagu layak bertanding ke separuh akhir yang diumumkan dalam sidang media di Balai Berita NSTP, Jalan Riong, di sini, semalam.

Antara lagu yang bertanding pada minggu pertama di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam jam 9 malam Ahad ini ialah lagu Biarkanlah (Drama Band), Langit Tetap Biru (Aizat), Untuk Cinta (Hafiz & Adira), Knock Knock (Elizabeth Tan), Sampai Mati (Hazama), Hantu Atau Buaya (Nana Sheme), Cinta Yang Sempurna (Qanda), Bukan Hal Aku (Kaka Azraff & Aliff), Di Pintumu (Firman), Melepaskanmu (Sakura Band) dan Terima Kasih Cinta (Tasha Mansahar ft RJ).

Untuk minggu kedua pada 29 November ialah lagu Hanya Namamu( Caliph Buskers), Malam Ini Kita Punya (Bunkface), Potret (Akim & The Majistret), Not For Sale (Stacy), Hey Kau (Sandra), Syurga (Alyah), Angin Kencang (Noh Salleh), #Peristiwa (Sofarz, Asfan & RJ), Senyum (Aziz Harun) dan Mana Mungkin (Black).

Turut dipertandingkan lagu Dikoyak Waktu (Ronnie Hussein), Selalu Ada (Amir Jahari), Tak Pernah Menyerah (Dayang Nurfaizah), Al Nura Yang 5 Dan 6 (Mawi, Hazama ft Dali Filsuf), Assalamualaikum (Faizal Tahir), Siapa Diriku (Ayda Jebat), Kau Tercipta (Lah Ahmad), Nyawaku (Azmil) dan Linangan Terakhir (Forteen) yang akan membuat persembahan pada 6 Disember depan.

Hanya 12 lagu yang akan dipilih berentap ke pentas AJL30 yang akan berlangsung Januari depan.

Dalam pada itu, Sufian berkata, ada beberapa lagu yang bakal dinyanyikan penyanyi lain antaranya lagu Assalamualaikum (Faizal) akan digantikan oleh Tomok dan lagu Bukan Hal Aku bahagian rap asal oleh Sleeq akan dinyanyikan Juzzthin.

“Kedua-dua penyanyi itu tidak dapat memberikan komitmen berikutan terikat dengan perkara lain,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2015 @ 5:50am
d