mutakhir

Perketat kawalan sempadan cegah militan menyusup

Bukit Kayu Hitam: Semua kenderaan awam yang masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand diperiksa dengan rapi untuk memastikan tidak berlaku sebarang kegiatan penyeludupan terutamanya pendatang asing tanpa izin (PATI), bagi mengelakkan ancaman militan Negara Islam (IS) memasuki negara ini.

Komander Agensi Keselamatan Sempadan (AKS) Kedah Abd Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara ini lebih-lebih lagi selepas serangan di Paris, Jumaat lalu, menyebabkan pihaknya turut melakukan pemeriksaan lebih ketat di sekatan pemeriksaan terakhir masuk ke negara ini.

Beliau berkata, ini termasuklah pemeriksaan terhadap semua kenderaan awam, bas ekspres dan teksi, untuk memastikan tidak berlaku penyeludupan PATI yang cuba memboloskan diri ke negara ini.

“Selain itu, rondaan 24 jam turut dilakukan di lubang tikus iaitu pagar yang dipotong di belakang Kompleks Bebas Cukai (KBC) yang melalui padang golf yang sebelum ini menjadi laluan PATI untuk menyeludup masuk ke negara ini dengan mudah.

“Anggota kami akan membuat pemeriksaan termasuk memeriksa dokumen perjalanan termasuk pasport dan pas lawatan pemandu dan penumpang kenderaan yang ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” ketika ditemui di Kompleks Pentadbiran AKS Bukit Kayu Hitam, di sini, semalam.

Menurutnya, langkah itu dijalankan bagi memastikan tiada individu yang mengambil kesempatan untuk melakukan penyamaran atau memasuki negara ini secara haram.

“Sebelum melalui pemeriksaan kami di Kilometer 1.3, Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Changlun, semua pelancong tempatan dan asing perlu menunjukkan dokumen perjalanan mereka di kaunter Jabatan Imigresen dan pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini

“Kami akan membuat pemeriksaan sekali lagi dokumen terutama pelancong luar negara di sekatan pemeriksaan AKS dan sekiranya didapati mereka dalam mencurigakan dan disyaki menggunakan dokumen palsu atau sebaliknya, kita akan menjalankan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan sekatan AKS juga dapat membantu mengesan kenderaan yang disyaki cuba meloloskan diri dari sekatan itu selain membantu pergerakan kenderaan yang keluar masuk di sempadan.

“Selain itu, kita turut mengetatkan kawalan dan pemeriksaan di Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap kerana biasanya penyeludup menggunakan laluan itu untuk melakukan penyeludupan atau untuk memboloskan diri.

“Ini berikutan kawalan di sempadan Bukit Kayu Hitam lebih ketat menyebabkan Kota Putra di Durian Burung menjadi tumpuan kegiatan penyeludupan tetapi anggota kami diletakkan di sana untuk membanteras kegiatan penyeludupan,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Latif tidak menolak berkemungkinan kegiatan penyeludupan mercun ke negara ini secara kecil-kecilan berlaku untuk persediaan menyambut Tahun Baru Cina awal tahun depan.

Disiarkan pada: November 19, 2015 @ 5:00am
d