mutakhir

Tak tertakluk SOSMA

Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, semalam memutuskan pertuduhan terhadap bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan selepas berpuas hati dengan hujah kedua-dua pihak.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh masing-masing dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 seorang serta diperintahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen dan ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Januari depan.
  Pendakwaan dikendalikan Mohamad Abazafree Mohd Abbas dan Mohd Masri Daud manakala Khairuddin diwakili Mohamed Hanif Khatri Abdulla dan Chang diwakili Zainur Zakaria.

Terdahulu, Mohd Azman dalam keputusannya berkata, Seksyen 124L Kanun Keseksaan tidak boleh dibaca bersama dengan SOSMA.

“SOSMA digubal mengikut Perkara 149(1) Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai enam cabang yang mempunyai ciri tersendiri serta tersirat dalam memastikan ketenteraman awam.

“Bagaimanapun, melalui SOSMA hanya menyebut empat cabang tidak termasuk perkara yang membabitkan perbankan dan kewangan,” katanya.

Beliau berpandangan pengecualian (berhubung perbankan dan kewangan) daripada SOSMA menunjukkan ia memang tidak dimasukkan dalam undang-undang berkenaan.

Sementara itu, Masri memaklumkan pihaknya akan merayu terhadap keputusan itu.

Disiarkan pada: November 19, 2015 @ 5:02am
d