mutakhir

Bacathon bina ketahanan mental siswa

Bangi: Budaya membaca perlu diterapkan dalam kalangan generasi muda terutama penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Ketua program Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ahmad Ali Seman berkata, budaya membaca dalam kalangan generasi muda penting supaya negara mempunyai masyarakat berpengetahuan luas.

Beliau berkata, program itu bertujuan membina ketahanan mental melalui pembacaan buku ilmiah.

“Program ini juga untuk menanam budaya membaca dalam kalangan penuntut UKM supaya mereka menjadi pemikir yang kritis dan rasional dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui Harian Metro pada program Jom Bacathon 12 jam, semalam.

Penuntut tahun satu, Ijazah Sarjana Muda Sejarah Kartika Sari Kismanto, 21, berkata, bidang pengajiannya menuntut dia membaca banyak buku berkaitan.

“Sebagai penuntut bidang Sejarah, membaca menjadi satu kemestian, malah saya juga gemar membaca sejak kecil, jadi ia membantu memahami pelajaran dengan lebih baik,” katanya.

Kartika Sari dari Labuan, Sabah berkata, program galakan budaya membaca perlu lebih kerap dilakukan dalam kalangan masyarakat supaya ia menjadi amalan generasi muda.

“Kini, saya lihat golongan muda lebih banyak menggunakan Internet untuk mencari bahan rujukan, walhal di perpustakaan terdapat pelbagai buku daripada sumber yang sahih.

“Menggunakan teknologi itu bagus, cuma ditakuti bahan bacaan di Internet itu belum tentu sahih penulisnya,” katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sejarah tahun tiga, K Iswaran, 21, berkata, budaya membaca juga membantu membina jati diri seseorang penuntut sebelum menghadapi alam pekerjaan.

Program anjuran Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategik dengan kerjasama Penerbit UKM bermula 9 pagi sehingga 9 malam semalam di foyer Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM disertai hampir 350 penuntut.

Setiap penuntut dikehendaki membaca sebuah buku yang dibawa sendiri atau disediakan penganjur berkaitan patriotisme selama dua jam secara bergilir-gilir.

Disiarkan pada: November 19, 2015 @ 5:04am
d