mutakhir

Hadiah istimewa untuk PM

Manila: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima buku mengandungi koleksi keratan akhbar dan gambar lawatan ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein ke New Zealand pada 1967 dan 1975.

Perdana menteri New Zealand John Phillip Key menghadiahkannya semasa mereka mengadakan mesyuarat dua hala di luar acara Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik ke-23 di sini, semalam.

Terdapat mesej tulisan tangan John Key di dalam buku ini yang menyatakan: “Najib, saya berpendapat anda mungkin suka rekod perjalanan bapa anda ke New Zealand. Salam mesra PM John Key.”

Najib yang mengetuai delegasi Malaysia di sini, gembira menerima hadiah itu.

Sementara itu, Najib dalam Twitternya berkata, beliau menghargai hadiah itu yang membawa kembali kenangan mengenai al-Marhum ayahandanya.

“Terima kasih @JohnKey atas gambar-gambar arwah bapa saya semasa lawatannya ke New Zealand. Saya menghargainya, ia membawa kembali kenangan,” kata Najib.

Dua puluh satu negara anggota APEC ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong-China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Russia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Malaysia, anggota pengasas APEC pada 1989, memperjuangkan prinsip inisiatif berasaskan konsensus, tidak terikat dan sukarela yang akhirnya diguna pakai oleh perkumpulan itu.

Sehingga ini, prinsip itu kekal.

Pada 2014, ekonomi APEC menyumbang 40 peratus bagi penduduk dunia, 57 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia (AS$44.1 bilion), 48.5 peratus daripada perdagangan global (AS$18.5 bilion) dan 53.1 peratus pelaburan langsung asing (FDI) Aliran masuk (AS$652 bilion).

Bagi Malaysia, ekonomi APEC membentuk 75.9 peratus (RM1.1 trilion) daripada jumlah perdagangan negara dan 34.4 peratus (RM12.2 bilion) daripada jumlah FDI di Malaysia manakala projek yang diluluskan dengan penyertaan APEC dalam sektor perkilangan berjumlah RM27.7 bilion (70.1 peratus). – BERNAMA

Disiarkan pada: November 19, 2015 @ 5:25am
d