mutakhir

Drebar teksi 'menjerit'

Oleh Fardy Bungga dan Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Pemandu teksi memberi tempoh dua minggu kepada kerajaan untuk mengadakan rundingan membela nasib mereka dalam menangani masalah ‘teksi sapu’ menggunakan aplikasi Uber dan GrabCar atau bakal mengadakan perhimpunan pemandu teksi siri kedua yang digambarkan lebih agresif berbanding perhimpunan semalam.

Koordinator Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang (JBPTLK) Kamarudin Mohd Hussain berkata, malah perhimpunan siri kedua itu, mereka juga tidak bercadang meminta permit perhimpunan daripada polis sebaliknya bertindak ala ‘koboi’ dengan terus berhimpun di lokasi ditetapkan pada hari berkenaan.

“Perhimpunan siri kedua itu juga mungkin lebih agresif berbanding hari ini (semalam) jika kerajaan terus berdiam diri mengenai tuntutan kami meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dirombak kerana gagal mengatasi isu Uber dan GrabCar.

“Hari ini (semalam) pemandu teksi berarak dari Padang Merbok menuju Bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan, namun kami kecewa apabila hanya wakil rakyat pembangkang yang tampil menerimanya,” katanya di sini, semalam.

Malah menurut Kamarudin, sehingga waktu mereka beredar meninggalkan jalan di hadapan Bangunan Parlimen pada jam 12.25 tengah hari selepas satu jam berada di situ, tiada seorang pun wakil rakyat kerajaan hadir menerima memorandum berkenaan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kami harap dalam tempoh dua minggu ini, akan ada wakil kerajaan tampil berbincang mengenai isu diperjuangkan ini demi membela nasib ribuan pemandu teksi berdaftar terutama merombak semula kepemimpinan SPAD,” katanya.

Semalam 500 pemandu teksi berkumpul di Padang Merbok di sini bagi mendesak kepimpinan SPAD dirombak kerana didakwa gagal menyelesaikan isu ‘kereta sapu’ Uber dan GrabCar.

Walaupun tidak mendapat permit perhimpunan daripada polis, pemandu teksi yang mula berkumpul sejak jam 10 pagi mula berarak sambil membawa sepanduk menuju ke Bangunan Parlimen pada jam 11.30 pagi untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan yang turut disertai Kamarudin dan Pengerusi JBPTLK Zailani Isa itu tidak dibenarkan menghampiri pintu masuk utama Bangunan Parlimen dan polis hanya membenarkan mereka berbaris sepanjang Jalan Parlimen.

Selepas sejam perhimpunan dan menyerahkan memorandum berkenaan kepada beberapa pemimpin pembangkang peserta mula beredar semula ke Padang Merbok pada jam 12.25 tengah hari.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, perhimpunan pemandu teksi di Padang Merbok, di sini, terkawal dan tiada kekecohan.

Menurutnya, pemandu teksi terbabit hanya menunjukkan protes dengan membawa beberapa sepanduk.

Disiarkan pada: November 19, 2015 @ 5:27am
d